Antara 7 Wali Allah di Tanah Melayu :: As-Sayyid Habib Nuh Al-Habsyi Rahimahullah 1788M – 1866M ::
Nasab dan keturunan
Nama penuh beliau ialah As-Sayyid Habib Noh bin Muhammad Al-Habsyi.
Beliau yang datang dari Kedah adalah merupakan seorang yang berbangsa
arab berasal dari Yaman dan asal-usul keturunan beliau juga adalah
daripada keturunan Rasulullah s.a.w. menerusi nasab Zainal Abidin bin
Sayidina Hussein r.a. Tidak banyak maklumat yang diketahui tentang
kehidupan awal beliau. Beliau yang hidup sekitar tahun 1788M – 1866 M
datang dari keluarga empat adik-beradik lelaki iaitu Habib Nuh, Habib
Ariffin dan Habib Zain (kedua-duanya meninggal di Pulau Pinang) dan
Habib Salikin, yang meninggal di Daik, Indonesia.
Dari perkahwinan beliau dengan Anchik Hamidah yang berasal dari
Province Wellesley, Pulau Pinang, mereka dikurniakan hanya seorang anak
perempuan bernama Sharifah Badaniah. Sharifah Badaniah kemudiannya
berkahwin dengan Syed Mohamad bin Hassan Al-Shatri di Jelutong, Pulau
Pinang. Pasangan ini kemudiannya memberikan Habib Noh hanya seorang cucu
perempuan bernama Sharifah Rugayah. Dia berkahwin dengan Syed Alwi bin
Ali Aljunied dan mereka mempunyai lima anak, dua lelaki dan tiga
perempuan bernama Syed Abdul Rahman, Syed Abdullah, Syarifah Muznah,
Sharifah Zainah dan Sharifah Zubaidah.
Dari banyak sumber yang diperolehi, Habib Nuh tiba ke Singapura tidak
lama setelah Sir Stamford Raffles mendarat di pulau itu. Usianya pada
ketika itu mencecah tiga puluhan tahun. Walaupun beliau telah
menghabiskan saki-baki usianya di Singapura dan meninggal dunia di sana,
beliau banyak berjalan, terutamanya ke Johor Bahru dan negeri-negeri
lain di Malaysia untuk berdakwah. Beliau adalah seorang yang amat warak.
Waktu malamnya beliau gunakan untuk solat hingga terbit fajar. Dan
beliau kerap berkunjung ke makam-makam (tanah perkuburan), selalu
mendoakan roh-roh yang telah meninggalkan jasad. Beliau sentiasa
berjalan bersama-sama kawan-kawan rapat melainkan bila dia secara
spesifik meminta untuk bersaorangan diri. [5]
Karamah
Di sini, saya ingin bekongsi bersama pembaca mengenai kemuliaan yang
Allah kurniakan kepada beliau. Banyak Karamah yang dibuktikan oleh
mereka yang hidup sezaman dengan beliau. Tetapi, tidak ramai yang dapat
menyelami peranannya sebagai orang kerohanian yang sentiasa dirinya
hampir dengan Allah SWT. Kerana peranan sebagai Rijalullah atau
Rijalulghaib ini amat simbolik dan sukar difahami menerusi bahasa dan
pengertian yang zahir sedangkan tugas mereka juga besar. Antara kurniaan
Karamah yang diberikan Allah swt adalah seperti berikut;
1. Menghadiri Sidang Wali-wali. [6]
Mengenai keistimewaan dan ketinggian kedudukan Habib Nuh, Pakcik
Muhammad Abu Bakar, 102 tahun, khadam kepada Syeikh Haji Said Al Linggi
r.h. menceritakan satu peristiwa yang berlaku ke atas gurunya yang ada
kaitan dengan As Sayid Habib Nuh:
Pada satu hari seperti biasa Syeikh Muhammad Said masuk ke bilik
suluk khas selepas sembahyang jemaah Asar. Seperti biasa juga, Pakcik
Muhammad menunggu di luar bilik kalau2 beliau dipanggil masuk oleh
gurunya untuk satu2 hajat. Tetapi pada petang itu beliau tidak
dipanggil, dan gurunya keluar dari bilik suluk itu apabila hampir masuk
waktu Maghrib dan terus sembahyang jemaah Maghrib bersama anak2
muridnya.
Malam itu Syeikh Said tidak mengajar. Selesai sembahyang sunat, beliau bercakap dengan Pakcik Muhammad secara empat mata.
“Engkau tahu aku pergi ke mana tadi?” kata Syeikh Said.
“Saya tidak tahu,” jawab Pakcik Muhammad dengan beradab.
“Aku pergi bersidang di Bukit Qhauf. Aku dan Habib Nuh sahaja yang
mewakili umat sebelah sini. Rasulullah SAW juga hadir, dan engkau jangan
cerita berita ini kepada sesiapa sebelum aku mati.”
Pakcik Muhammad Abu Bakar menyimpan amanat ini sehingga beliau
memberitahu penulis sewaktu di temui di rumahnya di Seremban pada tahun
1991. Syeikh Said Linggi meninggal dunia pada tahun 1926. Menurut Pakcik
Muhammad, Bukit Qhauf itu duduknya di luar daripada alam Syahadah.
Wallahua’lam.
“Walaupun persidangan itu dihadiri oleh Rasulullah SAW tetapi ia
dipengerusikan oleh orang lain, tak tahulah siapa orang istimewa itu,”
tambah Pakcik Muhammad. “Bila ditanya siapa orang yang mempengerusikan
majlis itu, Syeikh Said tidak memberitahu.”
Syeikh Said jua memberitahu bahawa majlis yang dihadiri oleh beliau
dan Habib Nuh ialah persidangan wali2 yang membincangkan antara lain
tentang satu wabak yang akan turun, yakni wabak cacar. Dan para wali
yang bersidang itu mohon bala itu supaya tidak turun. Alhamdulillah,
makbul. Tetapi menurut Pakcik Muhammad, “tempiasnya” masih mengenai
orang ramai sehingga ramai yang mati terutamanya orang2 kafir. [Wabak
cacar pada masa itu merupakan penyakit yang sangat bahaya dan belum
ditemui ubatnya].
“Saya tiga hari pengsan dan bahu saya masih berparut diserang wabak
cacar itu. itupun Syeikh Said yang mengubatnya,” kata Pakcik Muhammad
sambil menunjuk parut cacar di atas bahunya.
Cerita ini menggambarkan peranan tersembunyi As Sayid Habib Nuh
sebagai “pencatur dunia” yang mana kenyataan ini sukar diterima oleh
mereka yang hanya menggunakan akal menilai sesuatu kebenaran.
2. Menunduk Gabenor Yang Angkuh. [7]
As Sayid Habib Nuh dikurniai Allah berbagai2 karamah sebagai tanda
kemuliaan pada dirinya. Pelbagai cerita mengenai kewalian dan karamah
beliau dibawa dari mulut ke mulut sehinggalah kepada Sayid Hassan Al
Khattib, penjaga makam Habib Nuh r.h. Di antaranya adalah seperti
berikut :
As Sayid Habib Nuh bersikap tidak menghormati orang2 yang angkuh
dengan kekayaan atau jawatan duniawi. Begitulah, walaupun orang
menghormatinya atau takut kepada Crawford, Gabenor Singapura ketika itu
tetapi Habib Nuh tidak takut kepada wakil penjajah itu.
Dalam satu peristiwa, Gabenor Crawford marah dan menghina Habib Nuh
kerana beliau tidak menghormatinya. Tiba2 sahaja kereta kuda yang
dinaiki gabenor itu terlekat di bumi dan tidak dapat bergerak. Gabenor
naik marah dan bertanyakan hal itu kepada pengiringnya. Tetapi pengiring
itu bertanya kepada tuan gabenornya, “Tahukah tuan siapakah orang yang
tuan marah dan hina itu?”
Gabenor menjawab, “Itu orang gila.”
“Sebenarnya dia bukan gila tetapi dia orang baik dan ada karamah.
Lihat, bila tuan marah kepada dia, dia sumpah dan sekarang kereta tuan
tidak dapat bergerak,” jelas pengiringnya.
Gabenor menjadi takut dan akhirnya meminta maaf dengan Habib Nuh.
Setelah Habib Nuh menepuk2 kaki kuda itu, barulah kuda itu berjalan
pantas seperti biasa. Sejak itu gabenor sedar betapa As Sayid Habib Nuh
mempunyai kelebihan luar biasa.
Bagaimanapun, pada satu ketika gabenor terus bersikap bongkak dan
sombong dan memerintahkan orang-orangnya menangkap Habib Nuh dan
mengurung di dalam penjara dengan kaki dan tangannya dirantai. Tindakan
keras ini diambil kerana As Sayid Habib Nuh tetap enggan menghormati
wakil penjajah yang beragama Kristian itu. Anehnya, para pengawal
penjara kemudian melihat Habib Nuh di luar penjara. tangan dan kakinya
tidak dirantai. Walaupun ditangkap semula, dia tetap dapat keluar dan
kelihatan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku padanya akhirnya
beliau dibebaskan sepenuhnya.
3. Kapal Pelayaran, Terbakar Dan Karam. [8]
Dalam satu peristiwa lain, ketika sebuah kapal hendak berlayar,
muncul Habib Nuh di perlabuhan. Habib Nuh menahan barang-barang yang
berharga daripada dibawa bersama dalam pelayaran itu. Orang-orang yang
terlibat tidak senang dengan sikap beliau itu tetapi beliau tetap
bertegas;
“Tidak boleh barang-barang yang berharga itu dibawa.”
Setelah lama berbalah, akhirnya orang ramai terpaksa akur dengan
kemahuan Habib Nuh itu dan pemilik barang-barang tersebut tidak jadi
mengirim barangnya dengan kapal itu.
Beberapa hari kemudian, penduduk Singapura mendapat berita bahawa
kapal yang berlayar itu terbakar dan tenggelam di tengah lautan. Barulah
tuan punya barang-barang tersebut sedar hikmah divsebalik larangan
Habib Nuh itu. Beliau bersyukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT.
4. Habib Nuh Meminta Untuk Melaksanakan Nazar dan Niat.
Dalam satu peristiwa lain, ada seorang saudagar ingin meneruskan
pelayarannya ke Singapura. Dalam pelayaran, kapalnya telah dipukul ribut
kencang. Dalam suasana cemas tersebut, saudagar itu berdoa kepada Allah
agar diselamatkan kapalnya dari ribut tersebut dan dia bernazar jika
sekiranya dia selamat sampai ke Singapura dia akan menghadiahkan kain
kepada Habib Nuh. Setelah sepuluh tahun berlalu, dia pun pulang dari
pelayaran itu. Habib Nuh pergi menemuinya dan menuntut kain seperti yang
diniatkannya itu. Orang itu terperanjat kerana dia tidak pernah
menyatakan niatnya itu kepada sesiapa dan dia sendiri sudah lupa dengan
niatnya itu kerana terlalu lama, tetapi Habib Nuh datang mengingatkannya
akan niat baiknya itu. [9]
Habib Nuh juga dikenali mempunyai kelebihan untuk tahu masa depan.
Beliau seolah-olah tahu jika seseorang itu sakit, memerlukan beliau atau
memaksudkan beliau. Pada satu masa, seorang India Muslim balik ke India
mengikut jalan laut untuk melawat keluarganya. Dia telah berniat bahawa
jika dia kembali ke Singapura dengan selamat, dia akan menghadiahkan
kepada Habib Nuh satu hadiah. Bila dia pulang, dia terkejut bila melihat
Habib Nuh sudah sedia menunggunya di tepi laut.
Habib Nuh kata kepadanya “Saya percaya bahawa awak sudah berjanji
untuk memberikan sesuatu kepada saya.” Terkejut, India Muslim itu
berkata, “Katakan kepada saya wahai tuan yang bijaksana, apakah yang
tuan hajati dan saya akan dengan senang hati menghadiahkan kepada tuan.”
Habib Nuh menjawab, “Saya mahukan beberapa gulung kain kuning untuk
disedekahkan kepada orang miskin, yang memerlukannya dan kanak-kanak.”
Sambil memeluk Habib Nuh, India Muslim itu berkata, “Demi Allah, saya
amat gembira untuk menghadiahkan kepada seorang lelaki yang dirahmati
Allah kerana baik budinya terhadap umat manusia. Berilah pada saya tiga
hari untuk menghadiahkannya kepada tuan.”
Dia telah menunaikan janjinya dalam masa yang dijanjikan. [10]
5. Bertemu Di Kota Mekah. [11]
Beliau dikurniakan oleh Allah swt kebolehan untuk ghaib, dan dilihat
kembali di tempat-tempat yang jauh. Ada yang memberitakan bahawa beliau
telah dilihat sedang solat di Masjid Besar Makkah tanpa secara
fizikalnya pergi ke sana. Pada satu masa, beliau pernah berkata kepada
bakal haji bahawa mereka akan berjumpa di Makkah. Bila jemaah itu sampai
di sana, dia telah disambut oleh Habib Nuh sendiri. Menurut orang-orang
yang hidup sezaman dengan Habib Nuh, mereka pernah bertemu atau berada
dengannya di beberapa tempat dalam satu masa yang sama. Kejadian seperti
ini tidak pelik bagi wali-wali Allah.
6. Tabib Yang Berkat Dan Hebat. [12]
Habib Nuh juga terkenal sebagai tabib yang hebat, terutamanya ke atas
kanak-kanak yang memang disukainya. Pernah beliau menyembuhkan seorang
kanak-kanak yang cedera di kakinya dengan hanya meletakkan tangan-tangan
beliau di atas luka itu dan membaca doa. Dalam masa yang singkat,
kanak-kanak itu sudah boleh berlari semula seolah-olah tiada apa-apa
yang berlaku ke atasnya. Bapa kepada kanak-kanak itu amat gembira, dia
telah memberikan wang kepada Habib Nuh, tapi Habib Nuh memberikan wang
itu kepada yang memerlukan.
Habib Nuh sanggup mengharungi ribut untuk pergi mengubati kanak-kanak
yang sakit. Beliau pernah berjalan ke Paya Lebar dari rumah beliau di
Telok Blangah ketika hujan lebat untuk mengubati seorang kanak-kanak.
Bila beliau sampai di rumah kanak-kanak itu, ibubapa kanak-kanak itu
terkejut melihat pakaian Habib Nuh langsung tidak basah.
7. Air Bertukar Menjadi Susu. [13]
Dalam satu insiden lain, Habib Nuh telah dikejutkan oleh tangisan
berterusan anak jirannya. Bila beliau pergi ke sana, beliau dapati
bahawa keluarga itu amat miskin dan tidak mampu membeli makanan untuk
anak yang kelaparan itu. Beliau mengalirkan airmata bila mendengar
cerita itu, lantas mengambil satu tempurung kelapa,menuangkan air ke
dalamnya dan membaca doa. Dengan kehendak Allah, air itu bertukar
menjadi susu untuk diminum oleh kanak-kanak tersebut.
8. Mimpi Kiyai Agung Muhammad bin ‘Abdullah As-Suhaimi BaSyaiban[14]
Dikisahkan bahawa Kiyai Agung Muhammad bin ‘Abdullah as-Suhaimi
BaSyaiban memang selalu mengamalkan bacaan mawlid junjungan nabi s.a.w.,
tetapi kadangkala beliau meninggalkannya. Pada satu malam, beliau
bermimpi dan di dalam mimpi tersebut beliau bertemu dengan junjungan
nabi Muhammad s.a.w. dan Habib Nuh yang ketika itu sudah pun kembali ke
rahmatullah. Dalam mimpi tersebut, Habib Nuh sedang mengiringi baginda
nabi s.a.w. yang sedang berjalan di hadapan rumah Kiyai Agung, lalu
Habib Nuh pun berkata kepada baginda nabi s.a.w.: “Ya RasulAllah,
marilah kita ziarahi rumah kawan saya Muhammad Suhaimi.” Tetapi
junjungan nabi s.a.w. enggan berbuat demikian sambil bersabda: “Saya
tidak mahu menziarahinya kerana Muhammad Suhaimi ini selalu lupakan
saya, kerana dia selalu meninggalkan bacaan maulid saya.” Habib Nuh
merayu kepada baginda nabi s.a.w.: “Saya bermohonlah kepada tuan supaya
dia diampuni.” Setelah itu baharulah junjungan nabi s.a.w. mahu masuk
dan duduk di dalam rumah Kiyai Agung. Inilah kisah mimpi Kiyai Agung,
selepas isyarat mimpi itu, maka Kiyai Agung tidak lagi meninggalkan
bacaan mawlid, sehingga dalam pelayaran sekalipun dan walaupun hanya 2
atau 3 orang sahaja dalam majlis pembacaan tersebut.
9. Keberkatan Menyayangi Kanak-kanak[15]
Antara sifat yang menonjol pada diri As Sayid Habib Nuh ialah beliau
sangat menyayangi kanak-kanak . Sering orang bertemu Habib Nuh bersama
dikelilingi oleh kanak-kanak. Ini sesuatu yang ganjil. Kadang-kadang
beliau singgah di kedai-kedai bersama kumpulan kanak-kanak dan
kanak-kanak itu mengambil seberapa banyak makanan yang ada tanpa apa-apa
bayaran.
Anehnya, ke semua tuan kedai tidak melarang perbuatan itu. Kerana
mereka yakin kedai mereka akan beroleh keberkatan jika dikunjungi oleh
Habib Nuh bersama kumpulan kanak-kanak tersebut. Ini terbukti, mana-mana
kedai orang Islam yang didatangi oleh Habib Nuh bersama kanak-kanak,
kemudiannya menjadi maju dan tidak putus-putus dikunjungi pelanggan.
Sayid Habib Nuh sayang kepada kanak-kanak kerana mereka adalah Ahlul
Jannah (ahli Syurga). Kelakuan Sayid Habib Nuh itu agak ganjil bagi
seorang yang sudah tua. Memang itu di antara keganjilan Habib Nuh,
seorang yang mempunyai keistimewaan yang terlindung.
10. Tebuan Menghormati Jenazah Beliau[16]
Diceritakan ketika keranda jenazah beliau diusung untuk ke makam
pusaranya, mereka yang mengusungnya terpaksa membawa keranda tersebut
melalui ke satu lorong kecil. Di mana kiri dan kanan sepanjang
perjalanan di lorong kecil tersebut kedapatan penuh dengan pokok buluh
Cina serta dedaunnya yang panjang. Semasa melalui lorong itu, keranda
tersebut merempuh sarang tebuan sehingga sarang itu pecah. Tetapi
tebuan-tebuan itu tidak sedikit pun menganggu orang ramai yang
mengiringi jenazah itu.
11. Pusara Terselamat Dari Letupan Bom dan Pemugaran.
Karamah beliau tidak habis di situ saja. Semasa Perang dunia kedua,
bila Telok Blangah dibom dengan hebatnya oleh Jepun, tidak ada satu bom
pun singgah di pusara Habib Nuh. Dan bila kerajaan Singapura mahu
membina satu jalanraya di Tanjung Pagar, jambatan telah direka bentuk
untuk membengkok melengkarinya, tingginya hampir sama dengan kedudukan
Makam Habib Nuh. [17]
Dikatakan, menurut rancangan pemerintah, makam Habib Nuh dan Masjid
Haji Mohd Salleh perlu dipindahkan demi membolehkan pembinaan Highway
dibina lurus. Dengan membelakangkan rayuan daripada jawatankuasa makam
dan masjid, kontraktor pembangunan telah menempatkan beberapa jentolak
untuk memulakan pemugaran. Dengan kuasa Allah swt, semua jentolak tidak
dapat dihidupkan. Akhirnya, lebuh raya terpaksa dibina membelok di
antara sekitar makam dan masjid. [18]
Banyak lagi kejadian aneh yang dihubungkan kepada karamah Habib Nuh
ini. Walau apa pun khawariqul adah (perkara di luar adat) yang berlaku
pada dirinya, maka itu bukanlah tuntutan kita. Yang pasti, sejarah telah
menyaksikan bahawa Habib Nuh al-Habsyi adalah seorang wali Allah yang
soleh taat kepada ajaran Islam. Lihat, bukan sahaja jelas karamahnya
sewaktu hayat beliau masih hidup, bahkan setelah kewafatan beliau juga
masih terpelihara kemuliaanya. Apa yang diharapkan adalah agar kita
dapat mengikuti jejak langkah beliau dalam menuruti perjalanan usaha
junjungan nabi Muhammad s.a.w. Mahabbah kepada para solihin adalah
dituntut dan seseorang itu nanti akan berada bersama orang yang
dikasihinya di akhirat kelak.
Nasihat dan Wasiat
Beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah memberikan
banyak nasihat kepada kawan-kawan setianya. Antara mutiara kata beliau
ialah “Jangan jadi tamak terhadap harta dunia dan jangan punya perasaan
hasad-dengki (dan sebarang perasaan
negatif) terhadap sesiapa sepanjang hidup anda.”
Sebelum meninggal, Habib Nuh telah berpesan kepada kawan-kawannya
agar jenazah beliau dikebumikan di Mount Palmer sebuah (bukit kecil di
jalan Palmer), yang merupakan tanah perkuburan kecil pada masa itu.
Walau bagaimana pun pada hari beliau
meninggal, setiap orang telah lupa mengenai pesanan itu dan mereka semua
bersedia untuk menuju ke tanah perkuburan Bidadari Muslim. Bila sampai
masanya untuk mengangkat keranda, ia tidak berganjak dari atas tanah.
Tidak ada seorang pun terdaya mengangkatnya. Persekitaran menjadi kelam
kabut, dan hampir setiap orang menangis melihat keranda itu tidak
berganjak walaupun cuba diangkat oleh lelaki-lelaki yang gagah.
Nasib baik, seorang daripada yang hadir akhirnya teringat akan pesan
Habib Nuh tersebut dan lantas tampil menceritakan hal yang sebenarnya
kepada setiap orang yang hadir.
Setiap orang menyedari bahawa mereka telah lupa tentang pesanan
tersebut, lalu bersepakat memutuskan untuk bergerak menuju ke Mount
Palmer. Dengan kehendak Allah, keranda itu boleh diangkat dengan mudah
dan laungan Allahu Akbar bergema mengiringi perjalanan mereka. Dengan
izin Allah swt, jenazah Habib Nuh telah selamat dikebumikan di Mount
Palmer. [19]
Kewafatan
Setelah 78 tahun mengabdikan diri beliau kepada Islam, Habib Nuh
telah pulang ke rahmatullah pada hari Jumaat, 27 Julai 1866 bersamaan
dengan 14 Rabiul Awal 1283. Habib Nuh menghembuskan nafasnya yang
terakhir di Telok Blangah, di kediaman Temenggong Abu Bakar, Johor.
Apabila berita itu tersebar, ramai orang daripada pelbagai peringkat,
termasuk orang-orang Inggeris yang telah memeluk Islam melalui beliau,
dan mereka yang berada di kepulauan-kepulauan berhampiran telah datang
untuk menziarahi pusaranya. Pada hari yang sama, semua kereta kuda yang
ada di Singapura memberhentikan aktiviti harian mereka kerana ingin
membawa pengunjung ke makamnya dengan tanpa bayaran. [20]
Di belakang makam Habib Nuh, terdapat sebuah makam yang dipercayai
adalah makam Qadhi pertama di Singapura pada era pemerintahan British.
Beliau dikatakan anak saudara kepada Habib Nuh dari kaum kerabat
Alhabsyi, namanya Said Abdul Rahman Bin Salim Al-Habsyi r.a yang wafat
pada tahun 1867.
Beberapa tahun selepas jenazah Habib Nuh dikebumikan pada tahun 1890,
seorang hartawan bernama Sayid Muhammad bin Ahmad Al Sagof telah
membuat binaan di atas makam Habib Nuh tersebut. Beberapa tahun lalu
makam itu dibaik pulih kerana binaan lama sudah hampir roboh.
Pada tahun 1962, kerajaan Singapura menambak laut di sekitar makam
itu sehingga menjadi dataran. Dan di situ juga didirikan
bangunan-bangunan. Keadaan tempat itu sekarang jauh berbeza dengan apa
yang digambarkan akan berlaku sebelum adanya makam Habib Nuh di situ.
Dengan itu makam Sayid Habib Nuh terus selamat dan terjaga.
Makam Habib Nuh yang terletak di atas sebuah bukit kecil di Jalan
Palmer bersebelahan dengan Masjid Haji Mohd Salleh, kini ianya telah
diambil alih sepenuhnya oleh pihak Majlis Ugama Islam Singapura untuk
segala urusan yang berkaitan dengan makam.
Makam beliau tetap terpelihara sehingga ke hari ini dan menjadi
kebiasaan, makam Habib Nuh sering diziarahi oleh orang ramai termasuk
orang-orang Arab dari Hadralmaut dan negara-negara Arab lain serta umat
Islam di sekitar Asia untuk mendapat keberkatan daripada kewaliannya.
Juga sebagai memenuhi seruan Rasulullah s.a.w. supaya menziarahi kubur
agar dapat mengingati mati (zikrul maut). [21]
Semoga Allah merahmati roh beliau.
~Al-Fatihah~
Bibiliografi
Rahmat Alam
Jika fakta tidak sesuai dengan teori, rubahlah faktanya.
0 komentar:
Posting Komentar